Budaya dan cara hidup Lun_Bawang

Cara hidup dan bahasa suku kaum Lun Bawang dan Kelabit banyak persamaan. Persamaan ini dapat dilihat juga dalam cara mereka semasa menanaman padi bukit (tana luun) dan sawah padi (Lati ba'). Nasi yang menjadi makanan mereka dibungkus dengan daun pisang atau itip dipanggil Nuba' Laya. Daging atau ikan yang telah diperam dengan garam serta disimpan di dalam buluh selama lebih sebulan dipanggil telu serta rasanya akan menjadi masam-masam masin yang sangat digemari suku kaum Lun Bawang. Begitu juga dengan salai (narar).

Mereka juga mendapat sumber garam dari telaga air masin yang lebih dikenali sebagai lubang main. Di kawasan pedalaman, penternakan kerbau dan lembu menjadi sumber ekonomi sampingan serta menjadi hantaran mas perkahwinan pihak pengantin lelaki kepada keluarga pihak pengantin perempuan yang dipanggil purut.

Suku kaum Lun Bawang kaya dengan kraftangannya. Dahulu kala, pakaian kaum lelaki diperbuat daripada kulit kayu yang dipanggil kuyu talun. Kain yang dililit di kepala pula dipanggil sigar sementara cawat yang dipakai dipanggil abpar. Parang panjang yang diikat di pinggang dibawa untuk pergi berperang dipanggil pelepet. Bagi kaum wanita pula, mereka mengenakan pata di kepala, beret di pinggang, bane di leher dan gileng atau pakel di tangan serta lengan. Suku kaum Lun Bawang juga sangat terkenal dengan alat muzik yang diperbuat daripada buluh. Mereka memainkan ini dalam kumpulan. Perempuan meniup suling dan lelaki meniup bass.

Di Sarawak bermula pada 1 Jun setiap tahun diadakan satu pesta yang dinamakan Irau Aco Lun Bawang dirayakan di bandar Lawas sempena perayaan hari Gawai Dayak dan di Sabah. Lundayeh merayakan Irau Rayeh Lundayeh Sabah 2 tahun sekali sempena hari Tadau Kaamatan di Daerah Sipitang. Semasa perayaan ini berlangsung, pelbagai pertunjukan kebudayaan daripada suku kaum Lun Bawang dapat disaksikan.